Saturday, April 11, 2009

PERJALANAN ITU

Mengingati kembali perjalanan yang ditempuh oleh kami sebagai bakal Tetamu Allah terasa satu perjalanan yang penuh dengan cabaran dan dugaan. Ujian yang diberi hanyalah menguji kesabaran kami. Ternyata kemanisan ujian itu kami rasai setelah di jemput olehNya sebagai Tetamu Allah pada 2008. Di antara dugaan dan ujian ini hanya kami lakaran untuk kenangan sahaja.


Bermula dengan satu cabaran dimana kami harus menguruskan masa kami bersama keluarga. Hari sabtu merupakan hari bersama anak-anak tetapi terpaksa ditinggalkan. Masa yang diberi kami peruntukkan dengan sebaiknya. Dapat mengikuti kursus dengan tenang.setiap minggu.Peperiksaan CIMA terpaksa TUNDA!!Kesian juga kepada suami tapi atas perbincangan bersama maka suami terpaksa menangguhkan peperiksaan CIMA yang bakal berlaku pada waktu yang hampir dengan penerbangan kami ke Mekah (walaupun masih belum tahu status haji kami). Masa untuk study tidak dapat diperuntukan kerana terpaksa fokus dengan kerja hakiki dan keluarga dan tumpuan kepada SUBJEK HAJI pada tahun 2008.


Makluman awal saya tidak layak untuk mohon cuti haji bergaji penuh tidak mematahkan semangat saya. Saya sudah bersedia cuti tanpa gaji.Berkat rezeki yang Allah berikan walaupun sebagai pegawai kontrak di DBKL dapat saya menunaikan tanggungjawab saya untuk mengerjakan rukun Islam yang kelima dalam usia yang muda.


Ujian yang datang tanpa dipinta. Kesihatan saya terganggu dan perlukan rawatan sehingga terpaksa menjalani pembedahan pada Mei 2008 di Pusat Perubatan Pantai. Ini menyebabkan saya terpaksa mengulangi pemeriksaan kesihatan Haji sebanyak dua kali. Setelah laporan pakar maka barulah saya lulus ujian kesihatan. Sedih juga pada ketika itu kerana saya merasakan saya tidak berjaya dan hancurlah harapan saya untuk mengerjakan haji tahun 2008. Kenapa tahun 2008 menjadi impian saya ?? Tunggu cerita selanjutnya.


Mendapat SMS dari Indonesia yang berbunyi ““Maaf Pak dan Ibu, ema tak bisa pulang kerana keadaan tidak mengizinkan”. Pembantu rumah kami tidak mahu menyambung kontrak lagi. Memang kami akui kontraknya berakhir tapi kami pohon padanya untuk menyambung untuk bersama-sama dengan anak-anak kami ketika kami tiada nanti. Tapi Allah lebih mengetahui apa yang terbaik bagi kami.


Aidilfitri menjelang tiba. Meriah juga disambut walaupun kami masih belum mengetahui status haji. Dugaan datang lagi. Anak kami, Muhammad Aqil demam panas dan demam campak.“Ya Allah berat mata memandang berat lagi Aqil menanggung sakit itu. Bermulalah episod kami berulang-alik dari Seremban ke Kuala Lumpur sehingga kami bertolak ke Tanah Suci. Memang masa terlalu padat ditambah pula keadaan badan fikiran kami yang seperti sudah berada di Tanah Suci. Penatnya tidak terkata. Pada saat ini kami masih belum menyediakan keperluan kelengkapan untuk menjadi Tetamu Allah.






Disebabkan kepadatan waktu dan kepenatan dengan tugasan dan perjalanan serta pening memikirkan siapakah yang boleh membantu emak di kampung untuk menjaga anak-anak, saya membuat satu keputusan yang mengejut. Satu perasaan yang lahir secara semula jadi apabila mengenangkan anak-anak kecil ini. Saya nekad untuk menarik diri dalam perjalanan haji itu sendiri. Pada tahap ini, saya mula kalah dengan ujian yang diberi dan detik itu amat sukar untuk saya catatkan disini. Menangislah saya sepuas-puasnya. Saya bersendirian seketika memohon padaNya, meluahkan segala padaNya dan berserah padaNya kerana hanya Dia yang Maha Mengetahui akhirnya saya menarik keputusan itu.

Ujian itu tidak berakhir lagi. Dua minggu sebelum keberangkatan saya pada 30 November 2008 saya demam panas dan menyebabkan suara saya hilang. Apakah maksud ujian begini diberikan kepada saya hanya Allah yang Maha Mengetahui. Suara hilang!







3 hari lagi, begini keadaanku. Penat yang teramat membuatkan saya jadi begini akhirnya. Kalah dengan kepenatan yang datang tanpa henti. Tapi dalam hati ku pohon janganlah disaat akhir meniti perjalanan haji ini saya dan suami diuji dengan ujian yang teruk sekali.

30 November 2008, dugaan itu akhirnya menjadi kenangan kerana laungan azan menyedarkan saya kerana sebentar lagi saya dan suami akan bertolak ke Kelana Jaya tempat pengumpulan jemaah haji Malaysia KT 94 / 2008 bagi musim haji 1429H. Labbaikallahumma Labbaik....