Monday, May 18, 2009

Desak TH turunkan tambang haji

KUALA LUMPUR 17 Mei – Tabung Haji (TH) digesa menimbangkan semula keputusan menaikkan kadar tambang 11 peratus untuk musim haji tahun ini.

Kebanyakan pihak termasuk orang ramai menyifatkan kenaikan itu agak membebankan dalam suasana ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia, Datuk Md. Saleh Md. Ahmad berkata, berikutan suasana ekonomi sekarang agak membebankan rakyat, TH perlu mempertimbangkan kenaikan tersebut.

‘‘Kenaikan ini agak membebankan bagi mereka yang berpendapatan rendah, sekarang ini semua kos telah meningkat,’’ katanya ketika dihubungi di sini.

TH dalam kenyataannya kelmarin mengumumkan, kadar bayaran tambang tahun ini akan dinaikkan sebanyak 11 peratus berikutan peningkatan kos yang tidak dapat dielakkan.

Ini bermakna bakal jemaah akan dikenakan bayaran sebanyak RM9,980 seorang berbanding RM8,973 ketika ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna (FOMCA), Muhammad Sha’ani Abdullah berkata, kenaikan perlu berpatutan sekiranya ia tidak dapat dielakkan.

‘‘TH perlu menimbang semula kadar ini dan kalau boleh beri subsidi kepada mereka yang berpendapatan rendah,’’ katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Lembah Klang mendapati kenaikan itu mendapat reaksi negatif daripada orang ramai.

Seorang pembantu tadbir Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Norani Salleh, 52, menyifatkan kenaikan tersebut terlalu tinggi.

‘‘Sepatutnya jika jika tidak boleh dielakkan, naikkan sedikit demi sedikit,’’ katanya.

Seorang kakitangan awam, Mek Rogayah Hamzah, 53, juga tidak bersetuju bayaran tambang itu dinaikkan berikutan kegawatan ekonomi sekarang.

‘‘Tabung Haji sepatutnya memahami kesusahan rakyat yang terpaksa menanggung beban kos sara hidup yang semakin tinggi,’’ katanya.

Pemilik kedai pakaian, Kamal Bahari Abd. Rashid, 41, pula berkata, kadar tambang tersebut tidak sepatutnya dinaikkan berikutan keadaan ekonomi yang masih tidak stabil.

‘‘Perkhidmatan menunaikan haji sepatutnya tidak dijadikan sebagai perniagaan. TH sepatutnya membantu mereka yang ingin menunaikan haji,’’ katanya.

Pemilik sebuah restoran, Zarina Abdul Hamid, 37, juga berpendapat, kadar baru itu tidak munasabah.

1 comment: